PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun gagal menjalankan tugas dengan profesional kerana bertindak berat sebelah, malah, boleh dipertikaikan beberapa tindakannya yang tidak mampu untuk berlaku adil.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah mengeluarkan satu kenyataan media bagi menggesa Idrus melepaskan jawatannya sebagai peguam negara atau perlu dipecat kerana tidak mampu menasihati Yang di-Pertuan Agong.
“Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa Peguam Negara perlu dipecat, atau beliau sendiri meletakkan jawatan secara terhormat kerana beliau dilihat tidak lagi mampu menjalankan tugas rasminya secara profesional.
“Beliau juga tidak bersifat berkecuali (neutral) dalam menegakkan undang-undang, termasuk dalam isu memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dan juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pada 25 Jun lepas, Idrus menjelaskan penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat jemaah menteri atau nasihat seorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am jemaah menteri.
Beliau menjelaskan, Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan. Perkara itu dijelaskan selepas Agong menitahkan supaya Parlimen segera bersidang.
Kenyataan Majlis Presiden itu menjelaskan walaupun Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa telah menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang.
“Namun, kini timbul tanda tanya apakah Peguam Negara kini boleh menjalankan fungsi tersebut secara tidak berat sebelah (impartial)? Apatah lagi apabila kita diingatkan bahawa terdapat kes-kes profil tinggi tertentu seperti Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 27 Mei namun sehingga hari ini tiada arahan pendakwaan dari Peguam Negara.
“Ini memang luar biasa apabila seseorang itu ditahan lebih sebulan yang lalu namun masih belum didakwa, dan semestinya menimbulkan tanda tanya samada wujud motivasi lain dengan melengahkan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
-UTUSAN ONLINE