PETALING JAYA: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan untuk memboikot sidang Parlimen pada 26 Julai ini.
Beliau berkata, tindakan tersebut dibuat selepas tiada usul yang boleh dikemuka dan dibahaskan dalam sesi tersebut.
Malah, katanya, sesi tersebut lebih dilihat sebagai taklimat kerajaan semata-mata.
“Kami sedang fikir sama ada mahu hadir atau tidak. Lima hari kita hanya dengar taklimat kerajaan. Persidangan ini hanya untuk menipu kononnya sidang telah diadakan tapi ia bukan sidang. Seperti yang kita tahu ia hanyalah taklimat.
“Mereka boleh buat kertas putih sahaja kalau nak buat. Kami sedang fikir perlu adanya kehadiran. Kami sendiri bawa dua usul iaitu berkaitan darurat dan penubuhan Majlis Pemulihan Negara untuk melawan pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 diadakan selama lima hari bermula 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mempunyai calon pilihan untuk jawatan Perdana Menteri termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Saya disuruh bagi nama, saya kata ada orang yang fikir oleh kerana saya baik dengan Mohamed Azmin, maka Azminlah calon saya.
“Mohamed Azmin bukan calon saya. Cuma saya sebut ini pendapat orang,” katanya.
Sebelum ini, beliau berkata, terdapat sekurangnya-kurangnya empat atau lebih calon yang berpotensi menjawat jawatan berkenaan pada masa akan datang termasuk Mohamed Azmin serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu rancangan bual bicara.
– UTUSAN ONLINE