Pesakit dilaporkan terpaksa dirawat atas lantai, hospital KL dan Klang mulai sesak
PETALING JAYA- Selepas Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur dilaporkan kehabisan katil berikutan peningkatan jumlah pesakit, kini situasi sama dialami hospital di Selangor.
Keadaan itu diterjemahkan menerusi satu perkongsian video berdurasi lebih seminit di Twitter dengan menunjukkan kesesakan berlaku di salah sebuah hospital di Selangor.
Melalui perkongsian video @MalaysianFood itu, keadaan di hospital terbabit berada dalam keadaan kritikal berikutan peningkatan kes Covid-19 di Selangor.
“Ini yang berlaku di Malaysia, Covid-19 itu benar, sekarang hospital tengah kritikal, kes di Selangor saja mencatatkan purata tertinggi Covid-19.
“Mohon sebarkan, minta tolong tularkan,” ciapnya.
Video itu yang didakwa dirakam di Hospital Klang menerima lebih 11,000 ciapan balas selain mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman media sosial.
Manakala di Hospital Kuala Lumpur, jabatan kecemasan terpaksa CPR pesakit atas lantai disebabkan kekurangan katil di ICU. Katil biasa dan juga kanvas juga dilaporkan sudah kehabisan.
Bagi @schafeyqahh, dia menyifatkan bukan sahaja Hospital Klang mengalami kesesakan malah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) berdepan situasi sama.
“Jangan kata di Klang, kami di Maeps pun ramainya juga. Ini baru satu dewan, belum dewan yang lain lagi,” katanya.
Sementara itu, @ubaidmohsin turut memberi cadangan supaya pesakit terlibat dipindahkan ke hospital lain bagi mengurangkan kesesakan di hospital itu.
“Kalau sudah penuh mengapa tidak hantar ke hospital lain atau negeri lain? Sekadar untuk kurangkan beban pesakit yang ditanggung hospital di Selangor,” ciapnya.
– K! ONLINE