Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Seleweng dana PPBM, Syed Saddiq didakwa di mahkamah esok


Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan menyelewengkan dana sebuah parti politik membabitkan jumlah RM1.12 juta.

Bekas menteri belia dan sukan itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta Kuala Lumpur pada 9 pagi.

Perkara itu disahkan oleh peguam Haijan Omar kepada Malaysiakini, yang akan mewakili Syed Saddiq bersama peguam Gobind Singh Deo.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang "bekas menteri" akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 403 dan 405 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah amanah jenayah.

"Jumlah keseluruhan penyelewengan yang terbabit dianggarkan berjumlah RM1.12 juta membabitkan wang milik parti politik yang beliau adalah ketua pemuda.


"Ahli Parlimen itu dijangka akan turut dituduh mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen Johor Bahru dalam masa terdekat," kata laporan itu memetik sumber.

Laporan itu tidak menyebut nama bekas menteri berkenaan.

Syed Saddiq sebelum ini merupakan menteri belia dan sukan ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, dan juga ketua pemuda Bersatu pada masa itu.

'Saya lebih rela masuk mahkamah'

Dalam rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosialnya selepas itu, Syed Saddiq mendakwa tuduhan tersebut merupakan kemuncak kepada ugutan bahawa dia akan didakwa di mahkamah kecuali sekiranya dia menyertai Perikatan Nasional.

Dia berkata ugutan seumpama itu timbul setiap kali muncul isu undian di parlimen di mana ia dijadualkan bersidang semula minggu depan.

"Pada saat-saat seperti ini saya teringatkan mengapa saya menyertai politik. Kebenaran akan terserlah.

"Saya lebih rela masuk mahkamah dari masuk Perikatan Nasional," katanya.


Tahun lalu, Syed Saddiq membuat laporan polis berkenaan kehilangan kira-kira RM250,000 dari peti besi di rumahnya di Petaling Jaya.

Dia berkata sebahagian besar wang berkenaan disimpan bagi kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya.

Namun, kehilangan wang itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana jumlah wang tunai yang "mencurigakan". 

Suruhanjaya itu sebelum ini menafikan motif politik di sebalik siasatan itu.

-MalaysiaKini