PETALING JAYA: Sistem kesihatan negara diibaratkan seperti nasi sudah jadi bubur apabila saban hari mencatatkan peningkatan jumlah korban akibat Covid-19 melebihi 200 kes manakala 31 yang meninggal dunia di rumah.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd. Razlan Rafii berkata, malah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini pernah memberi amaran sistem kesihatan negara akan lumpuh apabila jumlah kes jangkitan menjangkau 16,000 kes.
Beliau menjelaskan, perkara itu berpunca daripada kesilapan kerajaan iaitu melonggarkan lockdown (sekatan penuh pergerakan) serta membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilihat separuh masak.
“Di awal bulan Ramadhan, disuruh tutup aktiviti sosial tetapi tidak mahu didengar. Selepas raya puasa, dirayu juga tutup juga tidak dipeduli apabila sudah sampai sistem kesihatan nak lumpuh, barulah diumumkan lockdown, tetapi itu juga gagal.
“Lockdown separuh masak berjalan selepas satu bulan dengan kereta bertambah, kilang diberi kebenaran buka walaupun kilang arak sehingga rakyat menjadi bahan taruhan demi kekayaan mereka.
“Kini keadaan seperti ‘nasi sudah menjadi bubur’, masa yang berlalu sudah tidak dapat dibawa balik nyawa rakyat yang ramai terkorban tiada nilai gantian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Razlan, kerajaan hari ini dilihat seolah-olah memikirkan untuk kekal berkuasa sehingga untuk mengumumkan darurat sejak Januari lalu.
Justeru beliau mendesak kepimpinan negara digantikan dengan orang baharu serta dikurangkan jumlah Kabinet kepada 10 orang.
“Gantikan sahaja jawatan ni kepada coalition (gabungan) yang sama namun Kabinet yang baharu nanti, jangan ramai sangat menteri, cukup dengan 10 orang yang menjaga kementerian-kementerian penting. Sudah-sudahlah kita menongkah arus rakyat,” katanya.
-utusan