PETALING JAYA: Satu notis kompaun akan dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana tidak memakai pelitup muka ketika menghadiri Sidang Khas Dewan Rakyat di Parlimen semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya terlebih dahulu telah membuka siasatan susulan hantaran di laman sosial Twitter yang mempersoalkan tindakan Tajuddin melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelas beliau, semakan lanjut pihak polis mengenai hantaran itu mendapati bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu bersama seseorang di ruang legar Parlimen kira-kira pukul 2.30 petang.
“Atas pelanggaran SOP itu kita keluarkan satu notis pada beliau kira-kira pukul 1 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru kata beliau, orang ramai dinasihati agar mematuhi SOP PKP dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam.
“Usaha ini adalah bagi memutuskan penularan jangkitan Covid-19,” jelasnya.
-UTUSAN