Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tengku Zafrul dilantik pula sebagai Menteri Pelan Pemulihan Negara



KUALA LUMPUR – Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) hari ini memutuskan untuk melantik Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai menteri penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju melantik Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Penyelaras bagi PPN, yang bertanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan, serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik,” demikian menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadzilah Yusof; Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Tengku Zafrul.

JKKPPN berfungsi bagi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah PPN bagi memastikan Malaysia mampu keluar dari kemelut Covid-19 secara berfasa dan sistematik.


Ia turut akan memfokuskan kepada kehadiran varian baharu Covid-19 yang lebih ganas.

Dalam mesyuarat JKKPPN itu juga, kerajaan telah bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan pakar-pakar kesihatan, ekonomi dan sosial (subject matter experts).

“Ia bagi mendapatkan maklum balas dan menilai secara berterusan keberkesanan tindakan kesihatan awam yang sedang dilaksanakan, strategi pengurusan pesakit di hospital dan juga strategi pemberian vaksin kepada populasi di Malaysia,” kata PMO.

Faham bahawa rakyat kini mengalami kesulitan dalam menghadapi pandemik Covid-19, maka dengan itu kerajaan akan memastikan segala tindakan dalam menjayakan PPN akan mengutamakan kebajikan rakyat.

“Bagi memastikan kelancaran pelan pemulihan ini, agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan telah dilantik sebagai Sekretariat kepada JKKPPN untuk menyelaraskan usaha-usaha Kementerian serta Agensi yang terlibat secara langsung dengan pelbagai aspek berkaitan PPN,” menurut PMO. 

– MalaysiaGazette