Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tindakan "kurung" rakyat dah tak relevan, titah TMJ



JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu prosedur operasi Standard (SOP) yang digunakan kerajaan dalam melawan pandemik Covid-19 ketika ini dikaji semula.

Tunku Ismail bertitah, hal demikian kerana tindakan ‘mengurung’ rakyat seperti yang dilaksanakan ketika ini sudah tidak relevan lagi.

“Rakyat kini sudah dikurung hampir dua bulan dan saya bimbang rakyat kini mengalami masalah kesihatan mental dan fizikal yang teruk. Di samping itu, masalah sosio ekonomi juga timbul akibat situasi ini yang berpanjangan.

“Saya berpendapat bahawa SOP patut dikaji semula secara holistik dan berasaskan data yang sahih. Setakat mengurung rakyat sudah tidak lagi relevan,” titah baginda seperti yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi miliknya, hari ini.



Baginda bertitah demikian ketika menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tunku Ismail bertitah agar kerajaan negeri mempercepatkan lagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif melawan pandemik Covid-19 yang kini dilihat dalam keadaan yang kritikal.

“Sehingga kini, statistik Covid-19 masih menunjukan jumlah kes harian yang tinggi.

“Penggunaan ‘rapid test kit’ dan test kit peribadi juga perlu diperkenal secepat mungkin dan digunakan secara meluas khususnya untuk sektor-sektor yang penting selain daripada para barisan hadapan, khususnya sektor kritikal yang melibatkan pemprosesan ubatan, bahan makanan dan barang keperluan asas,” titahnya.


Baginda turut bertitah mahukan rakyat negeri ini menjalani proses saringan secara meluas dan divaksinasi secepat mungkin.

“Saya juga telah menitahkan agar proses vaksinasi untuk Bangsa Johor dipercepatkan melalui pelbagai inisiatif, termasuk untuk kerajaan negeri Johor memperoleh vaksin secara pembelian terus.

“Dengan ini, saya berharap kita akan berjaya mengatasi pandemik ini. Allah Peliharakan Sultan,” titahnya. 

-UTUSAN ONLINE