Tindakan tegas terhadap individu fitnah misi kemanusiaan Ebit Lew -Polis
Kuala Lumpur: Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang cuba mengaib dan menfitnah mengenai isu misi kemanusiaan Ustaz Ebit Lew (UEL) dke Gaza yang dipersoal oleh penyanyi rap, Ariz Ramli atau Caprice.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, setakat ini tiada laporan atau kertas siasatan dibuka terhadap Caprice mahupun mana-mana individu berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, individu yang menyebar atau membuat kenyataan berbaur fitnah dan mengaibkan seseorang adalah menjadi kesalahan.
"Kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana fitnah, Seksyen 504 KK sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 505 KK kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
"Siasatan juga boleh dibuat mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mensensasikan isu berkenaan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil jika mendapati wujud pelanggaran undang-undang.
Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai perbalahan antara penyanyi rap, Caprice yang ingin mendedahkan sesuatu mengenai kehadiran Ebit bersama pasukannya di Gaza, Palestin baru-baru ini.
Caprice bagaimanapun menunggu tarikh 21 Julai ini untuk membuat penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
Namun, hari ini Caprice, tampil memohon maaf kepada pembesar, pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia di atas segala kesilapannya kerana terlalu beremosi dalam usaha menjalankan misi bantuan ke Gaza, Palestin, baru-baru ini.
Dalam hantaran dimuat naik di Instagramnya hari ini memaklumkan apa yang berlaku sehingga hangat diperkatakan sejak beberapa hari lalu adalah berpunca dari kesilapan dirinya dan tiada kaitan dengan pihak lain.
-HMetro/TunCarlos