Seorang remaja lelaki didakwa kerana cuba memperkosa wanita 91 tahun selepas memecah masuk rumah mangsa.
Metro UK melaporkan tertuduh yang berusia 16 tahun melakukan perbuatan itu di sebuah rumah teres setingkat di sini, pada tengah malam Khamis lalu.
Mahkamah Belia Adelaide Australia diberitahu, tertuduh cuba melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa ketika wanita itu nyenyak tidur.
Bagaimanapun, mangsa kemudiannya tersedar dan menjerit selepas menyedari kehadiran tertuduh.
Tertuduh melarikan diri melalui tingkap yang pecah dan meninggalkan kesan darah.
Remaja itu ditangkap polis pada petang Sabtu.
Dia kemudian dituduh melakukan kesalahan jenayah serius dan cuba merogol.
Mahkamah dimaklumkan mangsa berasal dari pinggir bandar Edwardstown kini hidup dalam ketakutan dengan ahli keluarga, selepas insiden itu.
Nama remaja itu tidak boleh didedahkan mengikut undang-undang kerana usianya dan hakim melarang media untuk mendengar perbicaraan, menurut agensi berita Seven News.
Peguam belanya memohon hakim melarang perincian utama kes didedahkan kerana dikhuatiri mengaibkan keluarga tertuduh.
Rakan dan saudara-mara tertuduh meninggalkan mahkamah dengan menutup wajah dan enggan bercakap dengan pemberita.
Rayuan untuk tertuduh dibebaskan untuk kembali tinggal bersama keluarganya di sebuah bandar kecil di Australia Selatan ditolak oleh mahkamah kerana pertuduhan terhadapnya amat serius.
Mahkamah menerima maklumat menunjukkan remaja itu rekod kesalahan lampau.
Dia ditahan reman sementara perbicaraan kesnya bersambung di mahkamah dua minggu lagi.
-Agensi