Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Zahid silap letak keutamaan, bidas Wan Fayhsal



PETALING JAYA: Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membidas Umno yang menarik balik sokongan kepada perdana menteri ketika negara berdepan situasi kritikal.

Beliau yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata, langkah itu tidak baik buat negara dalam melancarkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Terdahulu, Putrajaya mengumumkan pelaksanaan program Pemulih, iaitu pakej bantuan bernilai RM150 bilion untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan setelah perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan.

“Secara jelasnya, Zahid tersilap dalam meletakkan keutamaannya,” katanya kepada FMT yang merujuk kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengakui Umno harus memainkan peranan lebih dominan dalam menyelesaikan isu berkaitan Covid-19 dengan membuat pelantikan penting membabitkan dua pemimpin kanan mereka.


Petang semalam, Muhyiddin melantik Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalannya dan mengangkat Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein untuk menggantikan jawatan Ismail sebagai menteri kanan.

“Ismail Sabri dan Hishammuddin membuktikan keupayaan mereka dalam memikul tugas menteri dan Umno sepatutnya berbangga dengan peranan itu,” kata ketua sayap Pemuda Bersatu yang dikenali sebagai Armada itu.

Awal pagi tadi, Zahid mengumumkan bahawa Umno secara rasminya menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri yang berkuat kuasa serta merta dan mahu beliau meletakkan jawatan.

Zahid membuat pengumuman itu selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi yang diadakan lebih empat jam di ibu pejabat parti itu malam tadi.

Zahid berkata, kerajaan gagal memenuhi dua keperluan yang ditetapkan oleh parti untuk mereka memberikan sokongan kepada pentadbiran Muhyiddin.

Beliau berkata, Umno menyedari aspirasi rakyat dan keperluan dalam menangani kemerosotan ekonomi serta perlunya satu pelan berkesan dalam mengurus pandemik Covid-19.

-MalaysiaKini