PETALING JAYA: Seramai 400 orang doktor lantikan kontrak di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang mengambil keputusan berhenti sejak Januari lalu akibat terlalu letih dan mengalami tekanan mental mengharungi tempoh pandemik Covid-19 yang panjang.
Malah, isu kekurangan tenaga kerja dan hospital-hospital yang penuh sehingga tidak lagi dapat menampung pesakit Covid-19 terutamanya di Lembah Klang turut menjadi punca tindakan itu.
Buat masa ini dianggarkan 23,000 orang pegawai perubatan berstatus kontrak yang sedang berkhidmat di hospital-hospital awam seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Subramaniam Muniandy berkata, kebanyakan pegawai perubatan terbabit terpaksa melepaskan jawatan kerana tidak sanggup menanggung tekanan yang dialami.
Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan angka tersebut akan berlaku peningkatan berikutan masih belum ada lagi penyelesaian kepada permohonan mereka diserap ke jawatan tetap.
“Mereka letak jawatan kerana tidak boleh bekerja akibat terlalu letih. Bahkan, mereka tidak melihat ia akan mendatangkan sebarang faedah kepada diri dan masyarakat. Itu yang boleh mendatangkan tekanan kepada mental.
“Hospital-hospital di sekitar Lembah Klang menghadapi jumlah pesakit Covid-19 yang terlalu tinggi. Mereka bekerja tanpa rehat yang cukup sehinggakan mereka menjadi letih dan fed up,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, tular beberapa doktor tampil dalam media sosial mengesahkan bahawa doktor di Lembah Klang didakwa berhenti dan melepaskan jawatan akibat tertekan dengan pandemik Covid-19.
Dr. Subramaniam berkata, ini berikutan doktor yang berstatus kontrak hanya ditawarkan tempoh lanjutan kontrak dan bukannya perjawatan tetap.
“Ini membuatkan mereka berhenti apabila beberapa tuntutan tidak dipenuhi dan tidak merasakan faedah tanpa perjawatan tetap,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengambil maklum nasib yang menimpa mereka, tetapi menasihatkan kepada mereka untuk terus bersabar.
“Kita tidak sokong dengan apa-apa gerakan, tetapi kita minta semua terus bersabar kerana wabak Covid-19 masih melanda negara,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, disiplin dan komitmen rakyat adalah perkara paling penting supaya tidak mengakibatkan sistem perkhidmatan di sesebuah tempat itu ‘lumpuh’.
Katanya, semua pihak perlu mempertimbangkan perkara itu kerana petugas-petugas barisan hadapan juga mempunyai had mereka berikutan pandemik yang melanda negara sudah menjangkau hampir dua tahun.
“Dia (petugas barisan hadapan) juga manusia, jika mereka tidak mampu dari segi psikologi dan fizikal, mereka juga tidak mampu bertahan.
“Kita mengharap kepada kerajaan, kerajaan itu siapa? Mereka ini petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang ada had. Jadi kita kena memahami.
“Kita duduk seminggu dalam rumah tak buat apa-apa pun sudah tidak mampu, apatah lagi mereka (petugas barisan hadapan) tidak tidur bahkan hendak solat susah dengan pakaian (berlapis-lapis). Pakai selapis juga sudah berpeluh, inikan dua tiga lapis,” katanya.
Tambah Ahmad Shukri, semua pihak kini hanya boleh mengharapkan program suntikan vaksinasi yang cepat dan pantas supaya dapat mencapai imuniti kelompok.
“Jadi apabila satu pertiga suku rakyat di sesuatu kawasan itu (lengkap vaksinasi), maknanya kita akan dapat melihat kes (jangkitan) menurun, walaupun tidak drastik tetapi akan menurun.
“Paling penting adalah statistik kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kematian menurun walaupun kes meningkat kerana ia (kes) boleh diuruskan sekiranya masih di tahap satu atau dua serta tidak sampai ke tahap empat atau lima,” katanya.
– UTUSAN