Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Calon PM ditentukan parti, bukan individu -UMNO


Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa calon perdana menteri dari Umno hanya akan ditentukan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti itu dan bukan oleh mana-mana individu.

Selain itu, katanya, perkara berkenaan akan hanya ditentukan selepas Muhyiddin Yasin sah meletak jawatannya sebagai perdana menteri.

"MT akan tentukan (siapa calon Perdana Menteri)," katanya yang dipetik Berita Harian Online selepas pertemuan pemimpin utama Umno di ibu pejabat parti di Menara Dato' Onn semalam.

Pertemuan yang berlangsung lewat petang semalam itu dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta timbalannya, Mohamad Hasan.


Portal itu juga melaporkan turut hadir dalam mesyuarat itu, adalah tiga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Khaled dengan tanpa kehadiran pemimpin lain.

Sementara itu ditanya sama ada MT khas Umno akan bermesyuarat petang ini, Khaled menyatakan ia belum dapat dipastikan.

"Belum pasti lagi," katanya.

Muhyiddin dijadual meletak jawatan hari ini susulan hilang majoriti selepas Ahmad Zahid dan 14 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan mereka.

Pada masa sama, 23 lagi ahli parlimen Umno termasuk naib presiden Ismail Sabri terus menyokong Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan mengadakan sejumlah pertemuan dalam usahanya mendapatkan sokongan ahli parlimen Perikatan Nasional yang sebelum ini menyokong Muhyiddin untuk menjadi perdana menteri.

Semalam, sumber memberitahu Malaysiakini, Umno mungkin akan menghantar tiga nama kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai calon perdana menteri.

"Setakat pengetahuan saya, selain presiden (Zahid), Ismail Sabri, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Hishammuddin Hussein juga berada dalam senarai.

"Kemungkinan tiga daripada empat nama ini akan dipilih untuk dihantar ke Istana Negara," katanya. – Mkini