Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Empat pengamal perubatan mengaku tak bersalah pukul bomoh



KOTA BHARU: Empat lelaki yang terlibat dalam satu rakaman video tular memaparkan seorang bomoh dipukul di media sosial awal bulan ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan memukul tanpa senjata sehingga menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun keempat-empat lelaki itu yang juga pengamal perubatan tradisional, iaitu Mohd Syamsul Izwan Midin, 33, Idris Ishak, 42, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 39, di sebuah inap desa dekat sini kira-kira 4 petang, pada 5 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahril Ramli manakala peguam Mohd Azrul Hasyimi Mohammad yang mewakili semua OKS memohon jumlah jaminan paling minimum.

Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS dan menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

-FMT