PETALING JAYA: Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan, di Balai Singgahsana Kecil, di Istana Negara, pukul 2.30 petang tadi.
Naib Presiden UMNO itu mengangkat sumpah jawatannya menerusi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Selesai menandatangi sumpah jawatan itu, surat cara pelantikan akan diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali.
Lafaz ikrar dan angkat sumpah itu sekaligus menamatkan kemelut politik yang berlaku ekoran peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketujuh di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN), 16 Ogos lalu.
“Bismillahirrahmanirrahim, wallahi, wabillahi, wattallahi, saya Ismail Sabri Yaakob setelah dilantik memegang jawatan seorang Perdana Menteri, sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya bahawa saya akan menumpahkan taat setia kepada Malaysia dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan mana-mana orang sama ada secara langsung atau tidak apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan saya ketahui sebagai Perdana Menteri kecuali sebagaimana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan sewajarnya kewajipan saya sebagai demikian atau sebagaimana mungkin dibenarkan dengan khas oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya hari ini.
Turut menyaksikan istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
-UTUSAN ONLINE