'Kabinet baru, kita sokong selagi tidak buat perkara salah' -Shahril
KENYATAAN KETUA PENERANGAN UMNO
Tahniah kepada semua yang dilantik membarisi Jemaah Menteri baru dibawah kepimpinan YAB Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pelantikan yang diumumkan hari ini adalah bersifat serahan amanah kepada semua individu berkaitan untuk berkhidmat dalam era yang paling mencabar.
Meskipun dalam kalangan barisan ini terdapat wakil-wakil yang turut berkhidmat sebelum ini, tidak terus bermaksud semuanya akan kekal sama. Perkara positif yang diwarisi boleh diperkukuh, yang negatif boleh diperbetul.
Maka, amanah baru yang dipikul ini tetap menjadi peluang untuk seluruh Jemaah Menteri menambahbaik prestasi keseluruhan berbanding sewaktu pentadbiran dahulu.
Terpulang kepada Jemaah Menteri sama ada mengambil peluang itu atau tidak. Tidak salah kiranya andai kita beri sedikit masa sebelum mengadili baik buruknya.
Bukan hanya selaku orang UMNO, tetapi sebagai rakyat Malaysia, tentunya saya mengharapkan Kerajaan ini berjaya mengambil peluang tersebut.
Apabila melihat situasi rakyat hari ini, tiada waktu untuk berbalah, adu domba, berspekulasi lagi. Sebaliknya ini masa untuk bekerja, melaksana perkara yang boleh mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat.
Dengan asas kestabilan politik, dipimpin oleh Perdana Menteri baru, diharapkan barisan Jemaah Menteri ini akan mampu merangka dan melaksana dasar-dasar yang lebih baik sesuai dengan keperluan semasa mengurus Covid-19 dan ekonomi rakyat yang kian tenat.
Cadangan akan terus diberikan dari masa ke semasa termasuk dari dalam parti sendiri, untuk pertimbangan Kerajaan.
Mustahaknya, apapun tanggapan awal, inilah "team" yang dibariskan atas padang. Yang perlu tegur, kita tegur.
Namun, selagi mereka tidak buat perkara salah, kita sokong, kita bantu, kita jayakan atas semangat berpasukan dan #KeluargaMalaysia.
Selamat bertugas kepada semua.
Shahril Sufian Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia