Keadaan memuncak, Mesir tutup sempadan Rafah-Gaza
KAHERAH: Mesir menutup lintasan Rafah di sempadannya dengan Semenanjung Gaza mulai semalam sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak, kata sumber keselamatan Mesir.
Berita Mediacorp memetik laporan Reuters, Hamas, puak Palestin yang menguasai Gaza, menyatakan pihaknya sudah diberitahu oleh Mesir mengenai keputusan untuk menutup kedua-dua hala di lintasan itu, tanpa memberikan sebarang perincian.
Menurut dua sumber keselamatan Mesir, penutupan itu dibuat atas sebab keselamatan anggota misi bantuan kemanusiaan berikutan keadaan memuncak pada Sabtu lalu antara Israel dengan Hamas, dengan pesawat Israel membedil Gaza menyusuli tembakan melepasi sempadan Gaza dengan Israel pada awal hari itu.
Rafah adalah satu-satunya lintasan antara Mesir dengan Gaza, di mana kepungan Israel menyebabkan sekatan ketat ke atas pergerakan barangan dan masyarakat selama bertahun-tahun.
Mesir pada Februari lalu membuka lintasannya sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menggalak rundingan antara puak-puak Palestin yang bertemu pada ketika itu di Kaherah.
Mesir terus membuka lintasan tersebut semasa dan selepas konflik 11 hari antara Israel dengan Gaza pada Mei, menghantar bantuan dan bahan binaan melalui Rafah setelah membantu gencatan senjata antara kedua-dua belah pihak.
-UTUSAN