PETALING JAYA: Polis meminta saksi termasuk mangsa yang ada kaitan dengan dakwaan gangguan seksual sehingga menyebabkan Ebit Lew turut dipanggil bagi membantu siasatan, tampil memberi maklumat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, kertas siasatan berhubung pertuduhan tersebut dibuka susulan ada aduan diterima pihaknya.
“Ya, kita ada terima laporan polis tetapi kita tidak boleh dedahkan berapa banyak laporan diterima dan siapa pengadu.
“Perkara ini masih dalam siasatan dan kita sudah memanggil beberapa individu untuk membantu siasatan,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Abd. Jalil berkata, dakwaan tersebut disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Polis turut membuka siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda hingga RM100 jika sabit kesalahan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Seksyen 14 adalah kesalahan menggunakan perkataan-perkataan kurang sopan, mengugut, aib atau menghina dengan cara menampal atau mempamerkan kertas bertulis dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Abd. Jalil berkata, siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.
Kelmarin, Ebit hadir ke Bukit Aman dan diambil keterangan lima jam bermula pukul 9.30 pagi hingga 2 petang.Selain itu, polis juga mengelidah rumah Ebit didpercayai bagi barang bukti bagi siasatan dakwaan kes tersebut.
Penceramah itu menyifatkan tuduhan yang dikenakan ke atasnya sebagai kejam dan fitnah.
- UTUSAN