Melaka: Perkenalan melalui aplikasi MiChat membawa 'mimpi ngeri' apabila seorang lelaki diugut dan dipaksa membayar sejumlah wang jika tidak mahu video bogelnya disebarkan seorang wanita baru dikenali.
Lelaki berusia 26 tahun itu dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit kira-kira jam 2.30 petang Sabtu lalu sebelum berhubung menggunankan panggilan video aplikasi WhatsApp.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa yang baru berkenalan dengan suspek sebaliknya diugut melakukan transaksi wang berjumlah RM600 pada hari sama.
"Difahamkan semuanya berpunca apabila mangsa dan suspek membuat panggilan video dalam keadaan bogel.
"Bagaimanapun selepas kira-kira lima minit bersembang, wanita terbabit tiba-tiba memutuskan panggilan dan menghantar video bogel mangsa yang dirakam berdurasi kira- kira 30 saat," katanya tadi.
Menurutnya, wanita itu kemudian bertindak mengugut mangsa supaya memasukkan wang berjumlah RM200 dan sekiranya tidak mahu video bogelnya itu disebarkan.
"Dia juga berjanji akan memadam video itu sekiranya mangsa membayar wang diminta itu.
"Mangsa melakukan tiga transaksi pemindahan wang dalam talian berjumlah RM600 pada hari sama sebelum tampil membuat laporan polis," katanya.
Mohd Sukri berkata, laporan polis dibuat kerana mangsa bimbang imej keluarganya terjejas dan ugutan dilakukan itu akan berterusan.
"Semakan lanjut dilakukan mendapati sebanyak 10 laporan polis diterima Polis Kontinjen Melaka membabitkan kes peras ugut melalui media sosial antara Januari hingga 21 Julai 2021," katanya.
-MyMetro