ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas menggantung dirinya di sebatang pokok mangga di Kampung Melaka Pindah di sini, hari ini.
Mangsa berusia 70 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 7 malam tadi sebelum mayatnya diturunkan dengan bantuan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Zamri Omar berkata, panggilan kecemasan diterima daripada anggota polis pada pukul 7.19 petang.
Katanya, sepasukan 11 anggota bersama tiga jentera ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian.
“Apabila tiba di lokasi, terdapat satu mayat lelaki dalam keadaan tergantung di sebatang pokok mangga yang terletak berhampiran sebuah stor di hadapan rumahnya.
“Mayat diturun dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Mengulas lanjut, beliau menambah, difahamkan, mangsa adalah seorang warga Indonesia yang mendapat taraf pemastautin tetap di negara ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Siasatan masih diteruskan, namun setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Terdahulu, satu mesej turut tular di aplikasi WhatsApp sejak pukul 7 malam tadi mengenai kejadian seorang lelaki dipercayai bilal di Kampung Melaka Pindah bertindak menggantung diri di sebatang pokok.
– UTUSAN ONLINE