Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Muhyiddin hanya bercakap kosong jika terus mahu bersama kleptokrat, kata Mahfuz



ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu paling layak untuk diangkat menjadi Perdana Menteri kerana bebas daripada sebarang legasi negatif dalam pemerintahan selama ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak terlibat dengan legasi kleptokrat, khianat, kerajaan gagal, penderhakaan serta tidak menghormati Perlembagaan negara.

Katanya, pemilihan individu seperti itu juga secara tidak langsung akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat serta masyarakat antarabangsa, sekali gus melonjakkan ekonomi negara.

“Untuk UMNO, itu hak mereka untuk membuat kenyataan mengenai siapa yang nak dicalonkan. Namun bagi saya, UMNO membuat keputusan yang sangat dikesali seluruh rakyat kerana calon mereka itu, tidak bebas daripada legasi disebutkan itu.


“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah warisan daripada legasi kleptokrat kerana sama-sama mempertahankan golongan itu satu ketika dulu. Beliau juga merupakan daripada legasi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengkhianati mandat rakyat.

“Beliau juga hadir daripada legasi kerajaan gagal yang disuarakan rakyat sebelum ini. Jadi bagi saya, amat malang kalau negara ditadbir oleh individu yang mewarisi legasi-legasi ini dan sudah tentu itu akan mengecewakan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata, beliau percaya pencalonan Ismail Sabri oleh UMNO adalah semata-mata demi kepentingan golongan ‘kluster’ mahkamah.

“Saya tak pasti sama ada Bersatu akan beri sokongan kepada UMNO untuk menjadi Perdana Menteri. Sebelum ini Muhyiddin pernah menyatakan beliau tidak akan bertolak ansur dengan isu kleptokrat dan kluster mahkamah.

“Namun kalau Bersatu boleh bersama UMNO, itu bermakna Muhyiddin hanya bercakap ‘kosong’ dan hanya mahu menunjuk hero dalam hal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menandatangani akuan bersumpah (SD) berhubung pencalonan Perdana Menteri di sebuah Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Bangunan Peruda, dekat sini hari ini.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan memberitahu, ahli-ahli Dewan Rakyat perlu memberikan SD masing-masing kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd. Alim sebelum pukul 4 petang ini.

-UTUSAN