Zainal dan Norita |
BAGAN SERAI: Dua jam selepas membuka meja makan untuk pelanggan yang lengkap vaksin Covid-19, pihak berkuasa tempatan mengarahkannya ditutup kerana pemilik kedai belum lengkap vaksin Covid-19.
Itu yang berlaku terhadap para peniaga gerai yang menjual makanan dan minuman berhampiran Pasar Awam Bagan Serai, semalam.
Pemilik gerai, Zainal Darus, 34, berkata, dia memulakan perniagaannya pada pukul 7 pagi dengan membuka meja makan untuk pelanggannya.
Menurutnya, namun dua jam kemudian, anggota berkuasa tempatan mengarahkan pemilik gerai di kawasan ini supaya menutup ke semua meja makan yang telah dibuka kerana belum melengkapkan suntikan vaksin Covid-19.
“Apa yang dilakukan oleh pihak pihak berkuasa tempat mungkin betul, cuma kami rasa kesal kerana prosedur operasi standard (SOP) tentang perkara ini tidak diperjelas secara terperinci.
“Saya keliru dengan SOP yang diumumkan. Apa yang saya faham hari ini pelanggan yang telah lengkap vaksinasi boleh makan dan minum di premis namun perlu menunjukkan sijil digital lengkap vaksin.
“Tetapi yang mengelirukan saya adakah hanya setelah semua pemilik kedai dan pekerja yang telah lengkap vaksinasi baru dibolehkan untuk buka meja atau bagaimana?,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Kata Zainal, SOP itu bukan sahaja mengelirukan dia tetapi peniaga lain.
Menurutnya, kerajaan perlu memberi penjelasan sewajarnya terhadap perkara itu dengan SOP yang lebih sempurna.
“Dua pekerja saya telah lengkap vaksin manakala seorang lagi pekerja belum divaksin dan saya hanya baru menerima dos pertama.
“Jadi adakah kedai saya ini dibolehkan untuk membuka meja atau bagaimana?,” soalnya.
Seorang lagi peniaga, Norita Hassan, 57, berkata, SOP yang diumumkan baru -baru ini mengelirukan peniaga dan perkara ini perlu dipandang serius agar tidak terus bercelaru.
Katanya, kerajaan mengumumkan pelanggan boleh makan di kedai bagi yang sudah sempurna vaksinasi tetapi dalam masa yang sama pula ada yang mengatakan meja makan hanya boleh dibuka sekiranya pemilik premis telah lengkap vaksin.
“Saya telah lengkap vaksinasi tapi pekerja saya belum mendapatkan suntikan lagi, jadi bagaimana tentang perkara ini.?
“Jika kebenaran membuka meja makan ini hanya dibenarkan kepada pemilik dan pekerja yang telah lengkap vaksinasi sahaja, seolah-olah kebenaran yang diumumkan kerajaan tidak adil terhadap para peniaga,” katanya.
– UTUSAN ONLINE