"PM nampak keserasian, karakter saya dengan golongan belia" -Peja
IPOH: Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan yang diumumkan hari ini.
Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, pelantikan itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar yang akan dilaksanakan sebaik mungkin.
Menurutnya, beliau percaya pelantikannya itu selepas Perdana Menteri melihat karakternya dan wujud keserasian.
“Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan baginda di atas pelantikan ini juga terima kasih kepada Perdana Menteri.
“Saya tak tahu bagaimana pandangan Perdana Menteri sehingga saya diamanah ke jawatan ini, cuma, tentunya Perdana Menteri nampak keserasian, karakter saya dengan golongan belia.
“Mungkin Perdana Menteri melihat saya boleh bawa golongan beliau, saya mudah selesa dan mudah didampingi, sesiapa pun boleh rapat dengan saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengenai portfolio yang diterajuinya, bekas menteri besar Perak itu berkata, beliau melihat kementerian itu antara yang terpenting.
Menurutnya, ini kerana apabila bercakap soal golongan belia, ia melibatkan masa depan negara.
“Selain akan memberi tumpuan yang lebih kepada usaha untuk memperkasakan golongan belia, saya mahu fokus masalah graduan tidak bekerja dengan menyediakan peluang untuk mereka masuk dalam industri pekerjaan,” katanya.
Mengenai sukan, Ahmad Faizal berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada pembangunan sukan.
“Saya akan berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti sukan kita di peringkat antarabangsa kerana kita terlalu mendambakan kejayaan dalam sukan,” katanya.
– UTUSAN ONLINE