Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis cekup pasangan tak lengkap vaksin 'tunjuk hebat' dine-in di restoran



KLANG: Tindakan sepasang suami isteri yang didakwa anti-vaksin memuat naik eksperimen memasuki beberapa kedai walaupun belum mendapatkan dua dos suntikan vaksin membawa padah apabila mereka ditangkap petang semalam.

Pasangan suami isteri berusia 35 dan 36 tahun itu memuat naik tindakan mereka dalam Facebook turut tular dan menerima kecaman daripada netizen.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, perbuatan pasangan suami isteri itu jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 yang hanya membenarkan individu yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan makan di restoran.

“Polis menerima aduan berkaitan satu kenyataan tular di medium media sosial Facebook oleh pemilik akaun yang memuat naik kenyataan berkisar tentang eksperimen sosial beliau masuk ke beberapa kedai dan gambar makan di dalam kedai atau dine-in bersama anak dan suami walaupun belum mendapatkan dua dos suntikan vaksin.

“Pemilik akaun juga turut memuat naik kenyataan yang telah mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada orang awam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar memberitahu, pihaknya telah menahan pasangan suami isteri itu di kediaman mereka di Bandar Putera 2, di sini pada pukul 5 petang semalam.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia.

“Orang ramai diminta agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menjalani kehidupan harian, sebagai usaha bersama untuk membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.

Menerusi laman Facebook itu, individu terbabit dilihat memuat naik gambar dia bersama suami dan kanak-kanak dipercayai anak pasangan itu menikmati hidangan di sebuah restoran.

Walaupun belum lengkap menerima dua dos vaksin, individu terbabit mendakwa perbuatannya adalah untuk melakukan eksperimen. Dia turut mendakwa premis yang dimasuki tidak melakukan pemeriksaan sama ada dia sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Pagi tadi alang-alang berbasikal se’family”, kami buat social experiment lagi. Nak tahu kena halau ke tidak kalau masuk dine-in dekat restoran ini.

“Duduk, makan minum, blah. Seorang pun tak tanya, sorang pun tak check. So, sape kata tak cucuk dua dos tidak boleh dine-in? Tanpa dua dos pun kami dah selamat dine-in pagi ini. Apa yang mustahil?” tulisnya.

Bagaimanapun, akaun tersebut sudah tidak boleh ditemukan, dipercayai sudah ditutup oleh pemiliknya namun ia sudah dimuat naik oleh netizen dan dikongsi sehingga menjadi tular.

Tangkap layar posting suspek sebelum dipadam

Tangkap layar posting suspek sebelum dipadam