Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis geledah rumah Ebit Lew


SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mula melakukan kerja-kerja penggeledahan bagi mencari bahan bukti di rumah pendakwah terkenal, Ebit Lew di Setia Alam, dekat sini petang tadi.

Ia susulan tiga buah kenderaan disyaki milik PDRM dilihat memasuki kawasan berkenaan kira-kira pukul 4.15 petang.

Selang beberapa minit kemudian, kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam yang mempunyai logo badan kebajikan pendakwah terbabit turut memasuki kawasan perumahan itu.

Bagaimanapun, kenderaan PDRM dilihat keluar dari kawasan perumahan itu kira-kira pukul 5.13 petang.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pasukan penyiasat daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) akan membuat kerja-kerja penggeledahan di kediaman Ebit dalam usaha mencari bahan bukti termasuk telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.

“Penggeledahan untuk mendapatkan bahan bukti merupakan antara prosedur yang perlu dilakukan pihak polis dalam melengkapkan kertas siasatan.

“Namun begitu, saya tidak dapat pastikan bila pegawai penyiasat kes akan ke rumah beliau (Ebit) sama ada hari ini atau esok, itu kena tanya mereka sendiri,” ujarnya ringkas sebentar tadi.

Terdahulu, Ebit Lew hari ini hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sebagai saksi untuk membantu siasatan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengannya seperti mana yang tular menerusi video, baru-baru ini. 

– K! ONLINE