Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis siasat kegiatan jual slot vaksin pada warga asing



BENTONG: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong akan menyiasat aduan seorang wanita tempatan berusia 31 tahun yang mendakwa terdapat ejen menawarkan slot suntikan vaksin Covid-19 kepada pekerja asing dengan bayaran antara RM100 hingga RM380.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima laporan itu pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, wanita itu adalah wakil sebuah parti politik membuat laporan polis dan setakat ini hanya satu laporan berkaitannya diterima.

Semalam, Timbalan Ketua Penerangan MCA, Wong Siew Mun mendakwa, bayaran RM100 hingga RM380 dikenakan ejen yang menjual slot suntikan vaksin membabitkan warga asing di daerah ini.

Siew Mun mendakwa, pihaknya menerima laporan penduduk di daerah itu berhubung kegiatan menjual slot suntikan vaksin melibatkan pusat pemberian vaksin (PPV). 

Sehubungan itu, Siew Mun semalam turut membuat laporan polis berhubung dakwaan itu di IPD Bentong.

Zaiham dalam pada itu memohon individu yang mempunyai maklumat tentang penjualan vaksin Covid-19 seperti didakwa itu supaya menghubungi IPD Bentong menerusi talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan. 

– UTUSAN ONLINE