Sebab itu saya tak gemar PPV mega, kata Najib mengenai kesesakan di Grand Season Hotel
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak berkata beliau “tidak begitu gemar” dengan langkah kerajaan menubuhkan pusat pemberian vaksin (PPV) mega kini terbukti betul, selepas video tular menunjukkan kesesakan orang ramai yang beratur tanpa penjarakan fizikal di luar sebuah PPV di Kuala Lumpur pagi tadi.
Dengan jumlah jangkitan harian Covid-19 mencecah 20,000 kes sehari, beliau berkata, kadar kes baharu Covid-19 dan kematian di Malaysia antara tertinggi di dunia.
“Kita masih begini? Sebab itu, saya tak begitu gemar dengan PPV mega.
“Lebih cenderung dengan klinik swasta, ‘drive through’ besar-besaran dan pusat komuniti kecil, tetapi tersebar luas,” katanya di Facebook.
Terdahulu, satu video tular menunjukkan orang ramai beratur tanpa penjarakan fizikal untuk mendapatkan vaksin di PPV Rumah Prihatin Hotel Grand Seasons di ibu negara.
Pengguna Instagram, Umirah Mohd Taib yang menularkan keadaan di PPV itu turut mendakwa pihak berkuasa di sekitar kawasan itu gagal mengawal keadaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mengambil tindakan segera dengan mengarahkan pasukan pematuhan ke PPV itu untuk mengawal keadaan.
Katanya, orang ramai di PPV itu sudah diminta mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka, berdasarkan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Pasukan pematuhan berjaya mengawal keadaan di pusat tersebut sehingga program vaksinasi selesai,” katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran SOP boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-FMT