KOTA BHARU: Suspek kes pukul melibatkan pengawal keselamatan sehingga menyebabkan kematian mangsa di Ipoh, Perak baru-baru ini bukan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Bharu.
Ketua Bersatu Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, selepas kes itu tular, ramai warganet menyangka Ketua Armadanya, Mohd. Ekhwan Mohd. Hatta merupakan suspek kes tersebut.
Sedangkan katanya, individu sebenar yang dikaitkan dengan kes itu ialah seorang aktivis parti di Perak.
“Sekarang wujud kekeliruan apabila ramai salah sangka individu itu adalah Ketua Armada Bersatu Kota Bharu yang kini disandang Mohd. Ekhwan.
“Namun saya tegaskan di sini, individu terbabit tiada kaitan dengan Bersatu Kota Bharu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir pada majlis pengagihan bubur Asyura di Pejabat Bersatu Kota Bharu.
Mengulas lanjut, Mohamed Farid yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, dengan penjelasan pihaknya itu, orang ramai diharap tidak lagi mengaitkan individu terbabit dengan Bersatu Kota Bharu.
Dalam masa sama tegas beliau, pihaknya berharap kes itu dapat diselesaikan secepat mungkin bagi menegakkan keadilan dan seterusnya memberi pembelaan sewajarnya kepada keluarga mangsa.
Terdahulu tular di media sosial dakwaan mengatakan Ketua Armada Bersatu Kota Bharu terlibat dalam kejadian pukul di Perak, 29 Disember lalu sebelum mangsa akhirnya meninggal dunia, Jumaat lalu.
Sebelum ini polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebelum suspek dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 6 Januari kerana mendatangkan kecederaan parah.
Kes itu dijadul disebut semula di mahkamah sama pada 9 September ini.
Susulan kematian mangsa, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-utusan