BAGAN SERAI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 termasuk yang mencetak sijil digital vaksinasi dari aplikasi MySejahtera.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ramai yang bimbang sijil digital vaksinasi dicetak dan dipalsukan dengan pelbagai cara untuk golongan tertentu mengambil kesempatan di atas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan.
“Ramai bimbang sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan memalsukan sijil digital lengkap vaksinasi bagi membolehkan mereka masuk ke dalam komuniti yang dilonggarkan syarat SOP yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Saya yakin pihak MySejahtera akan mempertingkatkan sistem keselamatan aplikasinya agar tiada pihak yang dapat mengubah sijil digital vaksinasi cuma yang kita bimbangkan sekiranya sijil itu dicetak dan digubah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepa melawat pusat vaksinasi untuk warga pendidik dan kakitangan sokongan di Sekolah Menengah Abu Bakar Al-Baqir dekat sini hari ini.
– UTUSAN ONLINE