Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

116 NGO kesal Muhyiddin dilantik, tuntut penstrukturan semula MPN



KUALA LUMPUR: Gerakan Reset Malaysia (Reset), iaitu gabungan 116 NGO kesal dengan pelantikan semula Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan menuntut Majlis Raja-raja agar memperkenan penstrukturan semula majlis itu dengan segera.

Ketua Sekretariat Reset, Nurul Ashikin Mabahwi berkata, melantik individu yang terbukti gagal sebagai pengerusi MPN sebelum ini amat mengecewakan semua pihak khususnya rakyat yang menuntut perubahan dasar pentadbiran dalam mengawal penularan wabak Covid-19.


Beliau berkata, pelantikan semula bekas perdana menteri itu bercanggah dengan tuntutan yang dibuat sebelum ini agar melantik Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin MPN.

“Muhyiddin telah pun gagal ketika jadi pengerusi MPN sebelum ini, jadi kita tak nampak sebab kenapa kita perlu letakkan seorang pengerusi yang telah pun gagal sebelum ini mentadbir negara sewaktu pandemik sebagai pengerusi MPN sekali lagi.

“Sebab itu kita di Reset Malaysia bersama dengan 116 NGO lain menuntut seorang pengerusi yang terbukti memimpin negara sewaktu pandemik untuk ketuai MPN dan kami cadangkan Mahathir sebagai pengerusi MPN,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum di pekarangan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Beliau berkata, memorandum mengenai penstrukturan semula itu juga turut dipanjangkan kepada setiap Raja-raja Melayu agak penstrukturan semula MPN dapat didengari.

Nurul Ashikin menyerahkan memorandum di pekarangan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
“Kita kecewa kerajaan pada hari ini hanya memikirkan jawatan dan kuasa politik, kerajaan perlu lebih memikirkan nasib 18,000 ahli keluarga yang kehilangan nyawa akibat Covid-19 berbanding jawatan dan kuasa politik mereka. Kami berharap apa yang rakyat mahukan terlaksana,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Reset Malaysia Abu Hafiz Salleh Huddin berkata, penyerahan memorandum pada hari ini adalah susulan kepada memorandum yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara beberapa minggu lalu yang mendesak Mahathir yang juga bekas menteri ke-4 dan ke-7 mengetuai majlis yang digagaskan oleh beliau sendiri.


“Penubuhan semula MPN dengan watak yang sama dan diberikan jawatan bertaraf menteri adalah sesuatu yang cukup mengecewakan sedangkan MPN yang dicadangkan Tun (Mahathir) akan dianggotai oleh semua pakar dalam bidang masing-masing dan mereka berkhidmat secara percuma.

“Kami melihat perlunya kepentingan penstrukturan semula dan mohon Raja-raja Melayu bertindak dan masuk campur urusan ini,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Zuki yang juga setiausaha Jemaah Menteri berkata, pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

MPN ditubuhkan Julai lalu bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19.

-FMT