Anak 16 bulan ditumbuk di muka, bapa tiri dan ibu kandung didakwa di mahkamah
KUALA PILAH: Kes kanak-kanak lelaki berusia 16 bulan ditumbuk di muka manakala tapak kakinya dicucuh puntung rokok membawa kepada bapa tiri mangsa dan ibu kandungnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammad Afiq Abdullah, 23, yang bekerja sebagai juruwang sebuah stesen minyak dan isterinya yang berusia 17 tahun sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Saiful Sayoti.
Suami isteri itu didakwa secara bersama menganiaya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di kepala, mata, badan dan juga tapak kaki.
Kesalahan dilakukan di Felda Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, Tampin pada 3 hingga 25 Ogos lalu dan mereka didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Saiful menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Oktober ini bagi menunggu laporan perubatan mangsa.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 kepada Muhammad Afiq dan RM6,000 kepada isterinya dengan syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke balai polis berhampiran dua kali dalam tempoh sebulan.
Pendakwaan dikendalikan Christhoper Enteri Anak Mawan manakala, tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah.
Terdahulu media melaporkan suami isteri berkenaan ditangkap susulan kes dera seorang kanak-kanak yang dikesan pegawai perubatan Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan.
Dalam siasatan awal, ayah tiri mangsa didakwa mengaku memukul mangsa kerana tidak tahan mendengar kanak-kanak itu menangis.
Suspek dikatakan menumbuk muka mangsa dan memukul serta mencucuh puntung rokok di tapak kaki kirinya.
Lelaki tersebut mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah di bawa Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
- UTUSAN