Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hakim benarkan pemilik sebenar barang kemas yang disita dari kediaman Najib buat pemeriksaan



KUALA LUMPUR: Pemilik syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL, Samer Halimah, Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor akan dibenarkan memeriksa 11,991 unit barang kemas yang disimpan dalam lebih 90 kotak di dalam bilik kebal di Bank Negara Malaysia (BNM).

Barang kemas itu antara pelbagai barangan yang disita polis dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018.

Peguam David Gurupatham, yang mewakili Samer, berkata hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membenarkan pemeriksaan itu antara 25 Okt dan 5 Nov, dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau berkata itu adalah kali ketiga arahan sedemikian dibuat.

“Tahun lepas, hakim memberikan dua tarikh untuk melakukan pemeriksaan tetapi tidak dapat dibuat kerana pandemik,” kata peguam, yang hadir bersama Venothany Rajagopal di hadapan Jamil untuk pengurusan kes.

Pengurusan kes seterusnya adalah pada 8 Nov.

Syarikat itu mendakwa menjual 44 barang kemas bernilai sekitar RM66 juta kepada Rosmah pada 2018 dan mahu dikembalikan kerana mendakwa Rosmah tidak membuat sebarang pembayaran.

“Ini kerana pembelian itu hanya akan dimuktamadkan selepas barang kemas tersebut dicuba,” kata Gurupatham.

Peguam Eleena Rashid mewakili Najib, dan Iskandar Shah Ibrahim dan Azamuddin Aziz mewakili Rosmah.


Najib, Rosmah dan Global Royalty adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas dalam permohonan lucut hak difailkan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki oleh Bustari Yusof.

Pada 2019, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Wang dan barang kemas itu dirampas oleh pihak berkuasa kerana didakwa terlibat dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 25 Julai tahun lalu, Najib dan Rosmah telah memeriksa sejumlah 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 pasang cermin mata yang dirampas dari premis yang sama.

-FMT