Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kaedah laporan kematian harian Covid-19 akan ditukar -Khairy



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengubah kaedah laporan mengenai kematian akibat kes Covid-19 bagi memberikan gambaran situasi semasa dengan lebih tepat .

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata melalui kaedah sekarang data harian mengenai kematian akibat wabak itu bukannya diambil dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Keadaan itu menurut Khairy menyebabkan kelewatan "berminggu-minggu" di antara tarikh seseorang itu meninggal dunia dan waktu datanya dibentangkan kepada orang ramai.

Sebagai contoh, kata ahli parlimen Rembau itu, situasi di Selangor yang tidak menunjukkan keadaan sebenar di antara data yang dikeluarkan dan situasi semasa.

Di Selangor katanya walaupun jumlah kematian yang dilaporkan masih meninggi namun keadaan sebenar pada hari tersebut menunjukkan kadar korban adalah menurun.

Proses sebelum ini kata Khairy laporan mengenai kematian terbabit perlu menunggu hasil bedah siasat dan pengumpulan data sebelum ia disahkan

"Ini kadang-kadang mengambil masa beberapa hari ataupun beberapa minggu.

"Maka kes-kes tertunggak terutamanya di Lembah Klang adalah tinggi, itu sebabnya mengapa ia tidak menggambarkan keadaan sebenar kematian," katanya pada sidang media petang tadi.

Untuk mengatasi keadaan itu, menurut Khairy, mulai sekarang KKM akan melaporkan kes kematian Covid-19 pada hari yang sama ia berlaku sebelum mereka melakukan analisis.

"Sekarang, KKM akan melaporkan tarikh kematian sebenarnya dan akan melakukan bedah siasat.

"Sekiranya ada berlaku apa-apa perkara yang perlu dimurnikan, kami akan menjelaskan atau mengubah data itu kemudian.

"Langkah ini diambil supaya kita dapat mengumumkan kematian pada tarikh sebenar,” katanya.

-MalayiaKini