Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kematian Adib masih belum terbela, kata keluarga



PETALING JAYA: Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim tetap berharap pihak berkuasa meneruskan siasatan insiden kematian ahli bomba itu.

Bapanya, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, berkata, sehingga kini pihaknya berasa kematian anaknya masih belum terbela dan ahli keluarga tidak berpuas hati sekiranya kes itu ditutup.

“Sekiranya mahu tutup sementara tak apa, kita cuma tak mahu kes ditutup terus.

“Saya harap polis terus lakukan siasatan, jika ada siasatan mesti akan ada petunjuk baharu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sabtu lalu, media melaporkan kes kematian anggota bomba itu ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Adib.

Kasim, yang juga seorang pesawah berkata, dia akan berbincang dengan peguam keluarga untuk tindakan yang sesuai bagi memastikan kematian Adib terbela.

“Saya dan isteri pasti akan kecewa jika kes ini ditutup terus, saya akan bincang dengan peguam keluarga dan minta nasihat sekiranya ada tindakan yang sesuai boleh diambil untuk membela kematian anak saya,” katanya.

Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya parah dalam rusuhan yang berlaku di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

-MalaysiaKini