Lembah Klang - yang selama beberapa bulan menjadi kawasan penularan utama wabak Covid-19 di Malaysia - akhirnya akan memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Jumaat ini.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob susulan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.
"Keputusan ini dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta MKN dan akan berkuat kuasa pada 10 September 2021," kata Ismail dalam kenyataan.
Antara lain, ini bermakna individu yang telah divaksin penuh dibenarkan membuat perjalanan antara Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memandangkan ketiga-tiganya kini dikira sebagai satu "kawasan jangkitan" yang sama, justeru tidak lagi terkesan dengan larangan perjalanan rentas negeri yang masih berkuat kuasa.