Bekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan pihaknya telah menghantar surat tuntutan kepada Muhyiddin Yassin, juga bekas perdana menteri, bagi menuntut jawapan berhubung tuduhan melibatkannya dan perbicaran jenayah yang sedang berjalan.
Dalam hantaran Facebook tengah hari tadi, Najib berkata Muhyiddin diberi tempoh sehingga esok untuk memberikan maklum balas, tentang sama ada dia bertanggungjawab menyebarkan khabar angin - berhubung dakwaan dia meminta Muhyiddin campur tangan dalam kes mahkamahnya.
"Apabila (Wan Saiful Wan Jan) dituntut beri bukti dalam mahkamah, mereka jawab pula bahawa mereka cuma dengar dari khabar angin. Tak ada bukti, sekadar tanya soalan sahaja. Kononnya nak beri peluang saya jawab.
"(Peguam Wan Saiful berkata) ini hak kebebasan mereka untuk bertanya di bawah Perlembagaan Persekutuan. Itu jawapan Wan Saiful (kepada surat tuntutan yang dihantar).
"Dengan merujuk jawapan rasmi peguam Wan Saiful, peguam saya juga telah hantar surat tuntutan yang sama kepada PM8 (Muhyiddin) - menuntut dia jawab secara jelas jika dia yang salurkan 'khabar angin' berkenaan saya kepada Wan Saiful," katanya.
Najib berkata, dia juga menuntut Muhyiddin agar memberi penjelasan tentang bila dan bagaimana dia pernah meminta pengerusi Bersatu itu campur tangan dalam perbicaraannya.
Pada 4 Ogos lalu, Muhyiddin yang ketika itu masih perdana menteri mendakwa ada pihak tertentu mendesaknya supaya mencampuri urusan mahkamah, bagi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Muhyiddin bagaimanapun tidak menyebut sebarang nama secara khusus.
Susulan itu, Wan Saiful pada 5 Ogos di Facebook berkata ada dakwaan bahawa Najib meminta Muhyiddin menukar panel hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar kesnya.
Najib memberi maklum balas pada hari sama, dan peguamnya kemudian menghantar surat tuntutan kepada Wan Saiful untuk menjawab dakwaan itu.
-MalaysiaKini