Pengacara Roslan Shah mimpi kahwin Datuk Vida, tapi tak mampu bagi sejuta sebulan
Labels:
Isu Semasa
KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara, Roslan Shah, 49, tidak menolak andai dirinya berjodohan dengan usahawan popular dan penyanyi lagu I Am Me, Datuk Seri Vida.
Menurut Roslan atau nama sebenarnya, Roslan Udin, hal itu dikongsikannya setelah bermimpi dirinya berkahwin dengan Vida yang kini sedang hangat diperkatakan di media sosial berhubung hasratnya untuk berkahwin dengan seorang usahawan muda, Ahmad Iqbal Zulkefli, 27.
“Banyak sangat keluar cerita Datuk Seri Vida nak kahwin. Pagi tadi bangun tidur, Cik Lan teringat mimpi berkahwin dengan Datuk Seri Vida pula tiba-tiba.
“Cik B dan Kacak terima Cik Lan seadanya. Mimpi kali pertama,”katanya dalam satu hantaran di akaun Instagramnya hari ini.
Selain itu, menerusi ruangan kapsyen, Roslan dalam nada berseloroh menganggap mujur perkara itu cuma satu mimpi dan bukan satu kenyataan.
“Selamat cuma mimpi. Tapi kalau sudah berjodoh, nak buat macam mana ya. Cik Lan tak mampu nak beri satu bulan satu juta.
“Cik Lan mampu kasi makan rojak buah Maznah Ke Tu saja. Cik Lan orang miskinlah. Ini gambar kenangan Cik B dan Kacak semasa kecil dulu ya,”katanya merujuk kepada gambar yang dikongsikan dalam hantaran yang sama.
Dalam pada itu, perkongsian Roslan itu disambut dengan tawa lantaran pengikut dan peminatnya tahu pengacara ini cuma berjenaka dan sering berkongsi perkara yang melucukan di media sosialnya.
Pada tahun 2013, Roslan pernah menjadi tular menerusi kontroversi hendak berkahwin dengan seorang wanita misteri dari Kelantan namun dianggap ramai sebagai satu propaganda.
Tidak cuma itu, menerusi kontroversi yang sama, Roslan juga dikecam dan dituduh pondan oleh segelintir rakan artis termasuk kalangan warga net namun perkara itu tidak berpanjangan berlaku.
-utusan