KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahawa beliau sedar sindiran orang ramai terhadapnya sejak beberapa hari ini kerana dilihat diam dalam mengkritik kerajaan setelah Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8.
"Jib jib dah jadi pengulas sukan ke? Eh beli roti pula? Ya saya tahu. Saya baca." ujar Najib di facebook.
Menurut Najib prinsip dan pendirian beliau jelas. Jika ada peluang tambah baik, beliau akan cadangkan. Manakala jika ada kesalahan, beliau akan lawan.
Oleh kerana Perdana Menteri yang baru adalah daripada UMNO, beliau memilih untuk menegur terus secara bersemuka.
"Jika baik, saya sokong. Face to face, atau kat media sosial. Kaedahnya terpulang kepada yang sudi memahami dan mendengar suara rakyat."
Najib juga turut berkongsi mengenai pertemuan beliau dengan Perdana Menteri Ismail Sabri pada Selasa.
"Alhamdulillah hari ini saya bertemu dengan YAB Perdana Menteri bagi membincangkan keadaan semasa ekonomi Malaysia dan langkah-langkah seterusnya yang wajar diambil. Make no mistake. Terus terang saya kata."
"Malaysia masih berada dalam krisis. Malah akan berdepan dengan cabaran yang lebih besar dari segi ekonomi, pendapatan dan kebajikan rakyat.
"Dari sudut makro dan secara menyeluruh, kita sudah jauh ketinggalan di belakang berbanding dengan negara jiran.
"Malaysia tidak lagi mempunyai daya tarikan terhadap pelabur asing serta selepas 2018.
Dari sudut mikro dan melibatkan rakyat pula, ramai tidak ada keyakinan terhadap ekonomi kita.
"Malah timbul kerisauan terhadap keperluan, pendapatan dan kestabilan pekerjaan masing-masing. Secara umumnya, itulah yang saya sampaikan kepada semua yang sudi mendengar dan menerima pandangan."
"Semoga dimanfaatkan cadangan, strategi dan pengalaman yang ada. Sekarang tiba masa bagi Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan.
"Kita tidak mampu gagal lagi. Demi Keluarga Malaysia."ujar beliau.
-TunCarlos.com