SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dengan menggunakan pasport milik orang lain untuk mendapatkan vaksin COVID-19.
Mizan Nur Rahman, 26, mengaku melakukan kesalahan itu pada 13 September lalu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.
Tertuduh mengaku menipu Muhammad Nur Ikhwan Hamzah bahawa dia adalah pemegang pasport BY0934943, milik orang lain dan dengan curang mendorong petugas PPV itu memberikan vaksin COVID-19 yang mana tidak akan diberikan sekiranya tidak diperdaya.
Dalam laporan polis yang dibuat pengadu, warga Bangladesh yang turut dikenali sebagai "Saddam Hossain" itu didapati membuat pemalsuan janji temu vaksin menggunakan identiti seorang lelaki bernama Helal.
Mizan Nur Rahman didakwa mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan melakukan kesalahan itu di PPV Universiti Islam Malaysia (USIM) di Nilai pada jam 10 pagi, 13 September lalu.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Majistret menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bermula tarikh tertuduh ditahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-BHonline