CYBERJAYA – Seorang wanita berusia lingkungan 30-an ditemui mati dipercayai bunuh diri setelah bertindak terjun dari tingkat 30 sebuah kondominium di sini malam tadi.
Wanita berkenaan yang difahamkan penyewa di sebuah kediaman di Tower J1, Mutiara Ville itu dikatakan naik ke tingkat paling atas sebelum bertindak terjun dari bangunan terbabit.
Salah seorang pengawal keselamatan yang ditemui Kosmo! berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 malam tadi agak mengejutkan selepas hampir sedekad kediaman itu didiami penduduk.
Difahamkan majoriti penghuni di kediaman berkenaan terdiri dari warga Arab dan juga pelajar tempatan serta warga asing yang menuntut di kolej swasta berhampiran.
“Biasanya kalau adapun kejadian di sini hanya berkaitan kes mabuk tetapi terjun (bunuh diri) lagi-lagi membabitkan mangsa wanita memang mengejutkan.
“Kami pun tidak tahu apa puncanya dan pengurusan sudah menyerahkan kes ini kepada pihak polis,” jelasnya.
Tinjauan Kosmo! di lokasi berkenaan mendapati aktiviti serta pergerakan keluar masuk kenderaan sama ada penyewa mahupun penghuni tenang dan berjalan seperti biasa.
Difahamkan juga, kediaman kondominium mewah itu memiliki 10 blok dengan 2,222 unit rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan kejadian itu.
“Kes masih dalam siasatan dan butiran lanjut akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya.
-K! ONLINE