Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Ada akar umbi UMNO mahu kerjasama dengan PN' -Azmin


ALOR GAJAH: Pintu rundingan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum melangkah masuk ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka belum tertutup sepenuhnya, memandangkan terdapat akar umbi UMNO yang mahu ia menjadi realiti.

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan, penolakan yang dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini hanyalah suara peribadi pemimpin tersebut.

Beliau berkata, BN dan UMNO perlu menyelesaikan kemelut dalaman yang sedang dihadapi mereka, memandangkan kata putus ke arah penyatuan perlu dinyatakan segera kerana hari penamaan calon kian hampir.

“Kita tidak pernah tutup pintu perbincangan tetapi masa itu penting untuk kita buat keputusan awal bagi jentera lebih efektif di peringkat akar umbi.

“Ini masalah dalaman UMNO yang tidak perlu kami campur. UMNO perlu buat keputusan muktamad, mahu atau tidak bekerjasama dan biarlah rakyat jadi hakim menentukan parti mana menolak perpaduan dan parti mana mahu mewujudkan kerjasama demi kestabilan negeri dan negara.

“Itu Presiden UMNO, pandangan beliau. Saya juga dapat maklumat daripada pemimpin dan akar umbi UMNO mereka mahu diwujudkan kerjasama dengan PN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan bersama jentera PN Parlimen Masjid Tanah di Dewan Datuk Abu Seman, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Terdahulu, Ahmad Zahid menegaskan sekali lagi, tidak akan ada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang PRN Melaka, 20 November ini. 

Menurutnya, keputusan itu adalah muktamad seperti mana telah dibuat oleh semua perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.

 – UTUSAN