KUALA LUMPUR: Bekas kakitangan UTUSAN yang telah ditamatkan pekerjaan mereka kira-kira dua tahun lalu kini melancarkan petisyen bagi menuntut pampasan yang telah dijanjikan kepada mereka.
Berikut adalah kenyataan rasmi di petisyen tersebut:
Sudah 2 tahun, bayar segera pampasan pemberhentian kakitangan Utusan!
BULAN ini, genaplah dua tahun syarikat Utusan Melayu ditutup yang menyebabkan lebih 800 kakitangan kehilangan pekerjaan apabila pihak pengurusan memutuskan untuk menamatkan hayat syarikat tersebut pada 9 Oktober 2019.
Pada tarikh tersebut, dengan notis selama beberapa jam sahaja, semua kakitangan diminta mengosongkan meja dan pejabat masing-masing - yang pada ketika itu syarikat masih berhutang kepada pekerja dua bulan gaji, KWSP, LHDN dan tunggakan bayaran pelbagai pinjaman.
Selepas diberhentikan, Utusan yang diambil alih oleh pelikuidasi, UHY Malaysia tidak memaklumkan kepada pekerja apakah pampasan yang bakal mereka terima, kecuali dengan janji-janji kosong yang pembayaran pampasan pemberhentian akan dibuat selepas mereka berjaya menjual pelbagai aset Utusan Melayu yang dijangka memakan masa kira-kira satu tahun.
Selepas hampir dua tahun menguruskan urusan penjualan aset-aset Utusan yang bernilai ratusan juta Ringgit, UHY hanya berjaya melangsaikan hutang baki dua bulan gaji pekerja dan tunggakan pembayaran kepada LHDN. Sehingga kini, langsung TIADA khabar berita mengenai bilakah hutang-hutang lain seperti bayaran KWSP, tuntutan perubatan, tunggakan pinjaman bank, insurans, zakat, koperasi, Tabung Haji dan sebagainya.
Selain itu, UHY juga masih GAGAL membayar 'bayaran pampasan pemberhentian' wajib yang perlu diselesaikan SEGERA iaitu faedah-faedah statutori seperti bayaran ganti notis, faedah penamatan kerja dan bayaran baki cuti tahunan - walaupun difahamkan beberapa aset utama Utusan Melayu bernilai ratusan juta Ringgit telah dijual.
Adalah lebih malang, TIADA SATU maklumat diberikan kepada bekas kakitangan berapakah jumlah faedah yang bakal mereka perolehi, selain memaklumkan secara tidak rasmi mereka (UHY) masih gagal menjual aset-aset Utusan walaupun telah dua tahun menguruskannya.
Sehubungan itu, kami bekas kakitangan Utusan Melayu yang diberhentikan melancarkan kempen menandatangani petisyen agar syarikat pelikuidasi UHY Malaysia SEGERA MEMBAYAR semua faedah-faedah statatutori, termasuk pampasan kepada semua bekas kakitangan.
Jika gagal, kami mendesak pihak UHY segera MENARIK DIRI sebagai syarikat pelikuidasi kerana gagal dalam tugas yang diberikan dan meminta campur tangan kerajaan dan UMNO (yang merupakan bekas pemegang saham utama Utusan Melayu) untuk menyelesaikan masalah ini.
Sebagai makluman, UHY juga masih berhutang dengan lebih 800 bekas kakitangan Utusan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) tiga tahun lepas.
Bagi pihak bekas kakitangan, kami berterima kasih kepada semua individu dan pihak yang menyokong dan menandatangani petisyen ini sebagai sokongan kepada bekas kakitangan Utusan Melayu yang teraniaya.
KLIK ini untuk ke petisyen.
-TunCarlos