PETALING JAYA: Berbaki 1.6 peratus untuk mencapai kadar lengkap 90 peratus vaksinasi Covid-19 populasi dewasa apabila semalam merekodkan jumlah 88.4 peratus.
Perkembangan itu sekali gus memberi gambaran awal bahawa sasaran 90 peratus boleh dicapai sekurang-kurangnya minggu ini seperti menepati hasrat kerajaan untuk membenarkan rentas negeri jika tercapai.
Menurut laman CovidNow, sebanyak 20,698,852 atau 88.4 peratus rakyat berumur 18 tahun ke atas telah lengkap menerima vaksin Covid-19.
Selain itu 94.5 peratus sekurang-kurangnya satu dos.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan.
Perkara berkenaan diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri pada 22 September lalu.
– UTUSAN ONLINE