Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kerugian besar jika Zahid dan Najib enggan bergabung dengan 2 parti Melayu -Rais


JELEBU: Masih ada harapan untuk tiga buah parti iaitu UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas untuk bersama serta bergabung demi perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Pandangan itu disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara yang juga ahli politik veteran, Tan Sri Rais Yatim yang kini bersama parti Bersatu. 

Menurut beliau, gabungan ketiga-tiga buah parti itu dilihat akan mengasaskan masa depan lebih bermanfaat kepada negara ini.

“Orang seperti saya masih percaya kepada gabungan tenaga Melayu akan mengasaskan masa depan yang lebih manfaat. Saya tahu ramai dalam kalangan mereka seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih berminat.

“Namun bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak begitu. Bagi saya, ini adalah satu kerugian besar kepada bangsa dan bukan kepada diri masing-masing. 

“Jadi jangan ambil ringan hal ini jika tidak satu hari rakyat akan bangkit sendiri dan menubuhkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang mengumpul cerdik pandai bagi mengatasi apa yang telah rosak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Jalinan Muhibah di Simpang Durian di sini hari ini.


Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang lalu, UMNO membuat ketetapan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini pula berkata, parti komponen dalam PN mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada PRU-15 tanpa membabitkan UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, tambah Rais, beliau masih mempunyai harapan parti Melayu itu bergabung  pada masa akan datang selepas melihat konsep parti berasaskan Melayu ketika ini sudah terkebelakang.

“Saya positif terhadap usaha-usaha ini dan saya akan akan membantu badan-badan tenaga fikir pakar Perlembagaan. Itu satu cara saya membantu Bersatu, Pas, UMNO dan menerima realiti yang perlu dihadapi. 

“Apabila kerjasama diutamakan dengan parti pembangkang, maka konsep parti berasaskan Melayu sudah terkebelakang. Sebaik-baiknya usaha berasaskan Melayu dan Islam dalam kerjasama UMNO, Bersatu, Pas yang majoriti orang Melayu mahu melihat sendiri sama impaknya,” katanya.

Dalam perkara lain, Rais menjelaskan, perlunya ada transformasi Perlembagaan yang menjadikan Parlimen sebagai satu kuasa yang berasingan. 

“Transformasi Perlembagaan akan menjadikan Parlimen satu kuasa yang berasingan dan ia merupakan gerakan majmuk. Kami telah mengadakan mesyuarat bersama Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam memperbaharui tekad transformasi Parlimen dengan baik. 

“Dalam transformasi Parlimen termasuk menentukan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun ini adalah satu langkah yang baik. Selain itu, meminda Perlembagaan berkenaan lompat parti dapat diatasi sampai bila-bila dan melaksanakan politik secara aman dan tumpuan lebih kepada kenegaraan,” katanya. 

– UTUSAN ONLINE