PUTRAJAYA – Pemindahan organ khinzir kepada manusia adalah dibolehkan dengan syarat ia adalah darurat yang disahkan oleh pakar perubatan dan tidak ada alternatif lain yang lebih sesuai.
Itu jelas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi artikel terbaharu dikongsinya menerusi saluran media sosial, Maktabah Al-Bakri.
Zulkifli berkata, jika sudah ada alternatif lain yang halal, maka terbatal keharusan ini.
Menurutnya, beliau juga berpandangan bahawa sudah sampai masanya bagi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengeluarkan pandangan dalam isu ini.
“Sesungguhnya kajian seperti ini adalah amat penting untuk menyelesaikan masalah yang kritikal pada masa kini yang terkait dengan rawatan dan perubatan,” katanya.
Katanya, prinsip asas bagi pemindahan organ melibatkan manusia-haiwan adalah haram menggunakan najis untuk berubat jika ada bahan yang suci.
Namun, katanya, bahan najis boleh digunakan jika ia adalah keperluan yang mendesak dan tidak ada bahan yang suci lain yang boleh digunakan.
Zulkifli berkata, para ulama bersepakat tentang haramnya penggunaan najis sebagai bahan ubat namun, berbeza pada keharusannya atas sebab darurat.
– K! ONLINE