Shahidan dedah nombor telefon peribadi, lapor jika jalan rosak
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim bertindak berani apabila mendedahkan nombor telefon peribadinya secara langsung di Parlimen.
Beliau berbuat demikian supaya semua pihak dapat terus menghubunginya jika mengesan sebarang kerosakan jalan di sekitar Kuala Lumpur selain meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat pemantauan.
Malah, beliau turut mendedahkan nombor telefon peribadi Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
“Saya telah berbincang dengan DBKL dan mengarahkan agar mana-mana aduan dan rungutan dan makluman mengenai kerosakan jalan hendaklah diambil tindakan segera dalam masa 24 jam.
“Yang Berhormat boleh hubungi menteri di talian 019-454111, atau boleh hubungi timbalan menteri di talian 019-6524444 atau boleh hubungi Datuk Bandar di talian 016-2068883.
“Kami bersiap siaga 24 jam. Rakyat Malaysia boleh hubungi. Yang baru datang Kuala Lumpur, jumpa jalan berlopak dan berbahaya, hubungi dan kita ambil tindakan dalam masa 24 jam,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.
Tindakan Shahidan itu mendapat pujian Ahli Parlimen, malah P. Prabakaran (PH-Batu) mengucapkan terima kasih di atas tindakan berani beliau memberikan nombor telefonnya kepada masyarakat.
-UTUSAN ONLINE