Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Calon termuda PH dakwa sudah bersedia jadi YB walau masih belum tamat belajar


MELAKA: Sungai Rambai menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan PH, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Bagi kempen Pilihanraya Negeri Melaka 2021 ini, Pakatan Harapan telah mempertaruhkan seorang calon berusia 21 tahun di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai iaitu Farzana Hayani Nasir.

Farzana merupakan calon termuda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan kini masih lagi menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Dalam kempen kali ini, beliau yang juga Ketua Srikandi PKR Melaka itu berjanji mahu capaian internet di seluruh Melaka dipertingkatkan dan menjanjikan perkara itu menjadi antara perkara yang akan diketengahkan jika beliau dipilih nanti. 

Katanya keluasan jalur lebar sangat memberi impak dalam kehidupan masyarakat, antaranya memudahkan pendidikan dan menggalakkan orang ramai menceburi bidang keusahawanan secara dalam talian.

Beliau menegaskan, sebagai pelajar yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dirinya sendiri berasa peritnya gangguan internet semasa belajar, impak semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan dipilih menjadi calon untuk bertanding, namun telah sangat-sangat ready (bersedia) untuk membantu rakyat dan masyarakat di negeri Melaka.

“Sebagai mahasiswa saya sangat pentingkan rangkaian internet kerana pengalaman sebagai pelajar di rumah, ia sangat penting untuk keluarga yang mempunyai anak-anak bersekolah terutama di kawasan Sungai Rambai,” katanya ketika diwawancara secara dalam talian oleh sebuah agensi media.

Farzana Hayani akan ditentang Siti Faizah Abdul Azis (BN), Muhammad Jefri Safry (PN) dan Nazatul Asyraf Md. Dom (Putra).