KANGAR : Di sebalik polemik harga hidangan ikan siakap mahal dijual di Langkawi ketika ini, Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis di sini tampil menawarkan set ikan siakap bakar kepada pelanggan pada harga serendah RM29.90.
Menariknya, set ikan bakar dianggarkan seberat 400 sehingga 500 gram itu juga menyediakan menu tambahan lain seperti sotong goreng tepung, udang telur masin, keropok ikan, telur dadar, gulai, ulam-ulaman, sambal belacan dan nasi bagi dua ke tiga orang makan.
Malah, sambutan yang diterima cukup memberasangkan apabila orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati makanan dengan harga berpatutan yang dibuka setiap hari di Samudera Coffee House hotel itu dari pukul 12 tengah hari hingga 10.30 malam.
Mana tidaknya, belanja bagi hidangan ikan siakap bakar berlemak kunyit selain menu tambahan lain untuk enam ke lapan orang makan khususnya tidak sampai RM100.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Besar Hotel Putra Brasmana, Saiful Nizam Ahmad Nadzri berkata, harga yang ditawarkan itu cukup berbaloi dengan siapa sahaja boleh menikmati hidangan berkenaan.
Katanya, pakej ikan siakap dengan harga tersebut sekurang-kurangnya memberi peluang kepada orang ramai termasuk mereka yang menginap di sini merasai makanan di hotel dengan harga yang berpatutan.
“Sambutan sangat memberangkan khususnya pada waktu malam dan cuti hujung minggu di mana orang ramai membawa ahli keluarga menikmati set ikan bakar di hotel ini.
Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis |
“Set berkenaan juga antara makanan yang paling mendapat perhatian para pelanggan dengan kebelakangan ini sambutan semakin hebat khususnya membabitkan pelancong yang singgah di Kuala Perlis,” katanya.
Isu harga ikan siakap mula menjadi polemik sejak kelmarin apabila tular dalam media sosial gambar resit menunjukkan sekumpulan individu terpaksa membayar hampir RM1,196 bagi hidangan seekor ikan siakap dengan berat sekitar tujuh kilogram.
Ekoran itu juga, satu demi satu dakwaan dikongsi pengguna media sosial berhubung isu harga ikan siakap di sesetengah restoran di Langkawi yang dianggap pada kadar tidak masuk akal.
-UTUSAN ONLINE