'Kalau Bersatu masih dengan PH, setiap PRK pasti akan kalah' -Muhyiddin
MELAKA TENGAH: Cara tadbir urus Pakatan Harapan (PH) sewaktu menerajui kerajaan Persekutuan selama 22 bulan tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia secara keseluruhan, dakwa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, hati beliau tidak tenang kerana pelbagai desakan dan tuntutan daripada parti komponen PH.
Selain itu, katanya kekalahan dalam pilihan raya kecil (PRK) sewaktu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih dalam PH juga menyebabkannya tidak boleh bertahan dalam gabungan itu.
“Waktu saya dalam PH, saya dapati agak sukar, kerana jiwa saya tak boleh rasa tenang. Kerana desakan, tuntutan dan cara pentadbiran bersama rakan-rakan dalam PH, saya kira tidak selari dengan perjuangan saya, perjuangan orang Melayu, Islam, apatah lagi perjuangan rakyat.
“Saya bagi tahu Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad), kalau duduk lama, dalam PRU nanti kita (Bersatu) akan hilang dari peta sejarah politik tanah air. Bersatu... PRK demi PRK kita kalah, Bersatu kalah.
“Antara sebab kekalahan, orang Melayu lihat Bersatu dengan kumpulan (PH) ini, tentu pada Melayu dan bukan Melayu, tak selari,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di Pentas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Perikatan Nasional (PN) yang disiarkan secara maya malam ini.
Muhyiddin berkata demikian sewaktu mengimbas kembali peristiwa Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari 2020, sekali gus menyaksikan PH hanya memerintah negara selama 22 bulan.
Susulan peletakan jawatan Dr Mahathir, Muhyiddin berkata, beliau kemudian berjaya mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi, termasuk daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.
“Antara kumpulan yang sokong pada saya ialah UMNO. Saya terima dengan niat dan hati agak suci dan bersih, ini satu usaha gabungan untuk perkukuhkan Jemaah Islamiyah.
“Malangnya dalam tempoh itu, ada tuntutan dibuat. Yang ni saya tak boleh nak terlibat. Ada hubung kait dengan mahkamah… sebab saya pegang pada prinsip, mesti ada kebebasan, dan urusan berkaitan dengan mahkamah kita tak boleh campur,” katanya lagi.
Muhyiddin mendakwa, tuntutan itu bertentangan dengan prinsip dan asas penubuhan PN – menegakkan keadilan, menentang kemungkaran, mempertahan Institusi Diraja dan Perlembagaan Persekutuan, serta menjamin kedudukan Islam dan Bahasa Melayu.
Atas sebab itu, katanya beliau memohon pengundi Melaka untuk membuat pilihan yang betul, dan memastikan kerajaan yang dipilih adalah gabungan parti politik yang berteraskan kepada prinsip yang dimaksudkannya.
“Berdasarkan pengalaman kami ada dalam PN, Tok Guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pernah jadi MB (Terengganu), saya pernah jadi MB (Johor), jawatan lain banyak ada di kalangan kita, dalam PN hari ini...
“.. tentunya membantu calon kita membentuk cara pentadbiran telus, transparent, baik,teratur dan tersusun. Tadbir urus yang dikehendaki rakyat Melaka, akan kita laksanakan,” katanya lagi.
Sejumlah 28 kerusi dipertandingkan di PRN Melaka pada 20 November ini.