Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kumpulan lawak Puteh jumpa Najib mohon maaf


MELAKA: Kumpulan lawak, Puteh tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kerana mempersenda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor di pentas Maharaja Lawak Mega, Ahad lalu.

Ali Puteh atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan mewakili dua rakannya, mengakui telah membuat kesilapan apabila menjadikan Najib dan isterinya, sebagai bahan lawak sewaktu tampil pada persembahan pertama program tersebut.

Menurutnya, apa yang terjadi di pentas Maharaja Lawak Mega itu memang tidak disengajakan kerana niat mereka sebenarnya adalah untuk menghiburkan semua peminat.

“Malangnya saya akui ini adalah kekhilafan kami dan kami perlu berjumpa beliau (Najib) iaitu orang yang dijadikan sebagai bahan jenaka. Kami dengan ini secara terbuka memohon maaf atas apa yang terjadi Ahad lalu.

“Secara jujurnya, memang ini adalah kesilapan kami yang perlu dibetulkan. Alhamdulillah kami bertiga dapat berjumpa beliau (Najib). Syukur beliau menerima permohonan maaf kami,” katanya ketika ditemui di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini.

Terdahulu, tular di media sosial apabila ramai netizen mengecam teruk dengan pelbagai kata cemuhan selepas mereka menjadikan Najib dan Rosmah sebagai bahan lawak.

Sementara itu, Mamak Puteh atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad berkata, apa yang berlaku itu sebagai pengajaran terbaik buat kumpulannya.

“Ini kesilapan kami dan perkara ini tidak akan berulang lagi kerana ada benda yang kita boleh sentuh dan ada benda yang tidak boleh,” katanya.

Najib akhirnya menerima permohonan maaf dari mereka dan meminta semua melupakan apa yang telah berlaku dan beliau juga menasihati kunpulan Puteh agar terus memandang ke hadapan.



-utusan